KUCHING – Baru-baru ini satu kejadian buruk telah berlaku di Kuching, Sarawak di mana sebuah telefon bimbit yang ditinggalkan terlalu lama di dalam kereta telah meletup. Menurut laporan daripada The Chinese daily, peranti itu meletup disebabkan kereta itu terdedah kepada cahaya matahari terik yang telah menyebabkan suhu di dalam kereta naik secara mendadak.
Bukan telefon itu sahaja meletup malah kereta itu turut mengalami kerosakan teruk di mana cermin belakang kereta telah pecah dan berkecai.
Pihak bomba telah dihubungi oleh orang awam sekitar jam 11.35 pagi. Selepas siasatan dijalankan secara menyeluruh, disimpulkan bahawa telefon tersebut meletup kerana cuaca terlalu panas yang mengakibatkan peningkatan suhu di dalam kereta.
Namun begitu, laporan itu tidak menyatakan jika telefon bimbit itu sedang dicas atau menggunakan bateri yang rosak.
Pada tahun lepas, berita mengenai letupan telefon bimbit telah menjadi tajuk utama selepas Samsung menarik semula telefon pintar Galaxy Note 7 kerana baterinya mengalami kerosakan.
Kejadian bateri litium-ion terbakar itu telah menyebabkan penarikan semula produk tersebut ketika syarikat teknologi itu mencari bateri yang lebih berkuasa, ringan dan mudah dicas semula yang boleh digunakan pada pelbagai peranti.
Ia telah menjadi semakin popular sejak bertahun-tahun kerana ringan dan berupaya untuk menyimpan banyak tenaga. Namun begitu, kelemahannya ialah ia mudah menjadi terlalu panas dan meruap.
Berikut ialah beberapa tip untuk memelihara diri anda dan gajet kesayangan anda daripada ditimpa sebarang musibah.
1. Berhenti mengecas telefon bimbit jika ia sudah panas. Biarkan gajet anda itu sejuk dahulu sebelum anda mengecasnya semula. Pastikan anda tidak menutup atau membungkus telefon bimbit itu supaya haba dapat dilepaskan dengan baik.
2. Gunakan pengecas telefon bimbit original yang telah disertakan ketika pembelian supaya telefon bimbit itu dapat menerima voltan dan arus yang optimum.
3. Pastikan tempat anda mengecas telefon bimbit itu selamat. Elakkan daripada mengecas telefon bimbit terlalu lama di tempat yang panas seperti meninggalkan telefon bimbit di dashboard kereta, di sebelah radiator atau di bawah cahaya matahari langsung pada hari-hari panas.
Era Baru
Sumber : BeritaSemasa