POLIS dan kakitangan penyelamat berkumpul lokasi kejadian tembakan di satu festival muzik di Las Vegas Strip. – Foto AFP
LAS VEGAS, Nevada: Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain pada satu festival muzik di Las Vegas Strip dengan menembak dari tingkat 32 sebuah hotel selama beberapa minit sebelum ditembak mati oleh polis.
Angka kematian yang disifatkan polis sebagai pengiraan awal itu akan menjadikan serangan terbabit sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat, mengatasi insiden pembunuhan 49 orang di kelab malam Orlando tahun lalu.
Ribuan pengunjung yang panik melarikan diri dari tempat kejadian sehingga ada yang dipijak ketika anggota keselamatan cuba mengesan dan membunuh lelaki bersenjata itu.
Ramai pengunjung konsert yang dalam keadaan terkejut dengan pakaian dibasahi darah kelihatan merayau-rayau di jalanan selepas serangan itu.
Sherif Clark County, Joseph Lombardo, memberitahu pemberita suspek adalah seorang lelaki tempatan Las Vegas yang bertindak sendirian dan dipercayai tiada kaitan dengan sebarang kumpulan militan.
“Kami tidak tahu apa kepercayaannya,” kata Lombardo. “Pada masa ini kami percaya dia satu-satunya pelaku.”
Pihak berkuasa juga sedang mencari seorang wanita Asia yang dinamakan sebagai Marilou Danley, iaitu rakan sebilik lelaki berkenaan.
sumber: https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/332821/angka-korban-tembakan-las-vegas-cecah-lebih-50-orang
Sumber : BeritaSemasa