Jane Brister yang juga pakar penyelamat koala di Fauna Rescue SA dipanggil untuk bertugas di Adelaide, Australia setelah menerima laporan daripada seorang pemandu mengenai bunyi ‘tangisan’ di bawah keretanya.
Semasa sedang memandu, lelaki berkenaan dikatakan menerima beberapa pancaran lampu dari kereta bertentangan dan menyebabkan dia menyedari mungkin ada sesuatu pada kenderaannya. Namun apabila dia memberhentikan keretanya di tepi jalan, dia tidak berjaya menemui apa-apa.
Tambahan pula, keadaan pada waktu itu agak gelap dan membuatkan pemandu meneruskan perjalanannya. Sebaik sahaja meneruskan perjalanan, secara tiba-tiba dia mendengar bunyi bising yang datang dari bawah kereta.
Apabila pemandu lelaki berkenaan melihat di cermin sisi, dia mendapati seekor koala sedang bergayut pada tayar keretanya. Tanpa disedari, dia telah mengheret seekor koala di bawah keretanya sejauh 16km!
Jane yang menerima laporan tersebut dengan segera datang ke lokasi berkenaan bagi membantu menyelamatkan koala tersebut.
“Mula-mula saya hanya nampak muka dan tangannya. Dia tersekat pada bahagian dalam tayar. Saya ambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan koala tersebut,” kata Jane kepada Sydney Morning Herald.
Jabatan Bomba tempatan turut dipanggil bagi membantu misi penyelamatan koala tersebut. Tambah Jane lagi, sebaik tiba ke lokasi, dia menyedari bulu koala tersebut sedikit terbakar sekali gus menyukarkan lagi situasi berkenaan.
Ia mungkin telah menyebabkan trauma pada koala tersebut.
“Kami tidak tahu bagaimana ia boleh berada di situ. Koala biasanya tidak akan memasuki bahagian tersebut dan pemandu pula tidak merasa dia telah melanggar sesuatu”.
Nasib baik, koala yang diberi nama Kelly ini hanya mengalami kecederaan ringan dan luka kecil pada tubuhnya.
Selepas seminggu tempoh pemulihan, Kelly dihantar kembali ke kawasan asalnya.
Lihat video mengenai insiden berkenaan di bawah.
Era Baru
Sumber : BeritaSemasa