KUALA LUMPUR: ‘Ustaz Zubir’ yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dua syarikat yang menawarkan rumah pada harga murah, ditahan hari ini.
Sumber memberitahu, Ustaz Zubir atau nama sebenarnya, Zubir Yahaya, 50, ditangkap di sebuah lokasi di Setapak, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Lelaki berkenaan dicari oleh polis bagi melengkapkan siasatan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman 6 Oktober lalu selepas polis menahan empat suspek, termasuk seorang pelakon bergelar Datuk serta seorang wanita berhubung kes itu.
Pelakon berusia 31 tahun dan berperanan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat, ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang, manakala dua lagi suspek berusia 29 tahun dan 45 tahun ditahan di sebuah kondominium dekat Setapak, di sini pada 2 dan 3 Oktober lalu.
Suspek wanita berusia 42 tahun pula ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada 26 September lalu.
Semua mereka ditahan susulan 210 laporan polis oleh mangsa yang mendakwa ditipu dua syarikat menawarkan rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, iaitu kira-kira RM60,000 untuk sebuah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.
Selepas pembeli melunaskan bayaran, syarikat berkenaan tidak menjalankan pembinaan rumah seperti dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, sumber JSJK Bukit Aman ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan Ustaz Zubir.
Difahamkan, satu kenyataan berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sumber:BHonline via Keramat Viral
Sumber : KepohKuat