BERAKHIRLAH sudah rancangan realiti tv, Clever Girl yang penuh kontroversi sejak disiarkan bermula 4 Ogos lalu diakhiri dengan kemenangan Sara Amelia Muhammad Bernard dari Perak.
Namun, di sebalik program pertandingan uji minda berkenaan, ramai netizen mempersoalkan kredibiliti gadis berusia 25 tahun tersebut yang dinobatkan dengan gelaran juara rancangan kuiz terbitan stesen TV3 itu.
Semalam, bekas peserta yang mula membuatkan program itu menjadi ‘panas’, wakil Pulau Pinang yang tiba-tiba menarik diri, Noor Syakirah Mohd Azam (Kiera) ada memuat naik satu posting di akaun Instagram miliknya.
Tetapi yang anehnya menerusi ruangan kapsyen pada gambar tersebut, Kiera hanya sebut nama Hani, Fadila dan Shazana sahaja. Macam mana pula dengan Sara?
Apa sebenarnya yang membuatkan Kiera seperti tidak berpuas hati dengan Sara? Sehinggakan dia tidak menyebut langsung nama Sara di dalam kapsyen tersebut?
Bagi netizen pula, gelaran juara sepatutnya milik Fadila Mohd. Nor, wakil Negeri Sembilan. Kononnya soalan yang diberikan kepada Sara itu sangat mudah bagi graduan Asasi Psikologi Ekonomi dan Matematik sepertinya.
“Negeri manakah yang merupakan negeri-negeri Melayu Bersekutu?” soal Alif Sattar sebagai pengacara.
Dengan mudah sekali, soalan itu dapat dijawab Sara dan sekali gus membuatkan dia bergelar juara rancangan itu.
Bukan setakat kemenangan Sara sahaja dipertikaikan, malah jawapan yang diberikan oleh Hani Nazrina Hanizar (Hani) dari Perlis juga ditertawakan oleh netizen.
Mana tidaknya, Hani menjawab ‘kaktus’ sebagai jawapan kepada soalan nama saintifik bagi haiwan Raphus Cucullatus. Adakah pokok kaktus merupakan haiwan? Kesilapan apakah yang telah dilakukan oleh Hani?
Maka ramailah netizen menghentam gadis graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu. Mungkin Hani berasa gementar dan itu membuatkan dia tersalah memilih jawapan.
Program realiti tv Clever Girl merupakan satu-satunya program yang sentiasa menjadi ‘panas’ setiap minggu. Ada sahaja drama kontroversi yang terjadi dan banyak perkara yang tidak dijangka telah berlaku.
sumber:mynewshub
Sumber : BeritaSemasa